Anak penawar duka, membuatkan para ibu tunggal kini bangkit?
Selamat kembali pembaca yang dikasihi sekalian, terutamanya kepada para ibu tunggal yang sudah berjuang bermati-matian dalam membesarkan anak-anak.
Walaupun anda tampak gembira menjalani kehidupan namun kami percaya bahawa luka lama yang dirasai atas kehilangan suami masih lagi jelas terasa. Namun diharapkan agar tidak terlalu lama berada dalam kesedihan. Ketabahan anda sesungguhnya memberi inspirasi kepada setiap wanita lain.
Bayangkanlah, dalam pada sibuk mengumpul semangat diri yang telah hilang, anda juga masih berupaya menguruskan ke semua keperluan keluarga dan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tahniah buat anda. Kami mendoakan agar suatu saat kelak, segala kebahagiaan di dunia ini akan menjadi milik anda.
Ketahuilah jika anda terlalu sedih dengan kehilangan suami, ia akan memberi kesan kepada anak-anak. Sedangkan jika anda teliti masalah ini dengan lebih dalam, anak-anak ini lah sumber penawar duka yang dapat membantu bangkitkan kembali semangat yang telah hilang.
Bayangkan jika anda terlalu sedih sehingga tidak mahu berjumpa orang termasuk anak, tidak mahu melakukan apa-apa tugasan, tidak mahu keluar mencari rezeki dan sebagainya, anak-anak mungkin akan merasakan beberapa perkara ini:-
1. Rasa terabai
Ketidakhadiran anda dalam kehidupan seharian anak akan menyebabkan anak berasa terabai. Pasti luluh hati mereka saat melihat kesemua ibu bapa rakan-rakan yang hadur dalam setiap sesi kehidupan dan persekolahan. Sedangkan mereka hanya perlu menguruskan kesemuanya seorang diri. Apabila rasa terabai ini mula melingkar dalam diri, semakin lama, ia akan menyebabkan anak menjadi tidak mendengar kata, keras kepala dan menjadi kasar serta ganas. Mereka tidak lagi mahu mendengar kata anda kerana menganggap mereka sudah mampu menguruskan segalanya seorang diri tanpa bantuan orang lain. Perkara ini yang ditakuti semua insan yang bergelar ibu bapa.
Jadi, jika anda berada dalam keadaan yang tidak baik dan memerlukan masa untuk bersendirian, anda sebaiknya perlulah memberitahu mereka terlebih dahulu. Dengan cara ini, mereka akan lebih memahami bahawa setiap insan memerlukan masa untuk bersendirian dan sekaligus dapat mengajar mereka tentang kehidupan.
2. Kemurungan
Selain itu, sikap anda yang mungkin mengabaikan anak-anak saat kehilangan suami ini juga mungkin akan membuat anak menjadi lebih kemurungan. Anda perlu sedar bahawa bukan anda sahaja yang berasa kehilangan malah, mereka juga turut berasa suatu kehilangan besar dalam hidupnya.
Kehilangan individu yang digelar ayah ini adalah suatu perkara yang amat menyedihkan. Tiada lagi kasih sayang sempurna yang bakal diperoleh dari seorang ayah. Ada kalanya, isu ini juga turut menjadi ejekan anak-anak lain di sekolah kerana ketiadaan ayah.
Jadi pada saat ini, anak-anak sangat memerlukan anda sebagai ibu untuk sentiasa ada bersama mereka. Ketiadaan anda di sisi mungkin akan menyebabkan anak-anak kemurungan kerana mereka masih lagi tidak mampu mengawal perasaan sedih yang dilalui tanpa penguat di sisi.
3. Kesan kepada pembelajaran
Apabila anak-anak rasa terabai sehingga membawa kepada kemurungan, ia akhirnya akan memberi kesan kepada proses pembelajaran anak. Mereka tidak lagi akan memberi yang terbaik dan sepenuh perhatian ketika di sekolah atau menyertai aktiviti-aktiviti yang mereka sukai.
Akhirnya, pembelajaran mereka juga akan turut terjejas dan mungkin kepada masalah pembelajaran yang lebih serius buat masa hadapan mereka kelak.
Jadi para ibu yang dikasihi sekalian, ingatlah. Sebesar mana ujian yang anda tanggung, jangan sesekali mengabaikan anak-anak anda sehingga langsung tidak mempedulikan mereka. Mereka mungkin sudah kehilangan ayah, tetapi mereka masih lagi mempunyai ibu sebagai penguat dan harta terbaik dalam hidup. Jadi buat mereka yang masih lagi bersedih dan berduka, anggaplah anak sebagai penawar duka. Mereka tidak bersalah, jadi mengapa perlu menghukum mereka?
Jika anda berniat untuk bangkit dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, jangan tunggu lagi!
Anda boleh membuka perusahaan sendiri dan bekerjasama dengan kami di ekongsi.com. Yang penting, teruskan pembacaan dan dapatkan juga produk menarik di ekongsi.com. Layari juga laman youtube kami untuk lebih tips dan info menarik.